Monday, March 15, 2010
kegelisahan
sekarang ini, hati saya rasa sedih sangat...mcm2 yang saya fikirkan, terutamanya dalam menyiapkan tesis nie..
Bila ada perasaan sebegini, saya suka membuka buku yang dihadiahkan oleh adik usrah saya masa di tahun 2 'Jangan bersedih, Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia'. Saya pun membaca salah satu tip yang ditulis dalam buku ini "kegelisahan itu menyeksa jiwa dan raga"
Kata orang : "Kehidupan itu penuh dengan penderitaan dan kepahitan."
Tapi aku katakan : " Tersenyumlah, cukuplah kepahitan itu di atas langit."
kesan buruk yang muncul sekiranya kita berasa gelisah adalah kita akan hilang konsentrasi, ini disebabkan fikiran kita menjadi kusut dan tidak fokus. Tapi sekiranya kita mampu mempersiapkan diri untuk menghadapi kemungkinan terburuk, maka sebenarnya kita telah memfokuskan fkiran ketika menghadapi setiap masalah.
Dalam keadaan kegelisahan, kita tidak akan mampu untuk bersemangat dalam melakukan sesuatu pekerjaan dgn baik. Ketika kita merasakan bahawa kegelisahan akan menggoyangkan kita pada hari ini, maka kita perlu kembalikan ingatan kita pada keadaan yang paling buruk yang pernah kita alami sebelum ini. Dengan demikian, akal kita terbebani dgn dua bebanan yang berbeza, sbg ganti dari dibebani oleh satu bebanan. Bebanan yang lebih kuat di masa lampau akan mengalahkan bebanan masa kini yang lebih ringan
ketika itu seseorang akan berkata"tidak ada sesuatu yang lebih buruk dari krisis di masa lalu. Walau demikian, aku melaluinya dengan berjaya. Bila anda telah mampu melalui krisis tersebut dgn selamat, lantas kenapa harus khuatir menghadapi krisis yang terjadi di saat ini, krisis di saat ini yang sebenarnya lebih mudah dan ringan bahayanya.
Sesungguhnya, kegelisahan lebih dekat mencengkam diri anda ketika anda berada di luar waktu kerja. Kegelisahan hanya akan melanda diri anda ketika waktu luang anda tanpa sebarang perkerjaan kerana ilusi anda pada ketika itu akan menghimpun dan memikirkan bermacam2 segala kemungkinan. Adapun, untuk mengubati keadaan tersebut, hendaklah anda sibukkan diri anda dengan kerja penuh kesungguhan...
Alhamdulillah...bagus betul nasihat nie...jadi untuk menghilangkan rasa sedih dah gelisah ini, saya kena rajin buat kerja..sibukkan diri...untuk menjadi seorang muslimah yang proaktif...
Sunday, February 28, 2010
Memberi Menambah Kelebihan Diri
source: www.earthmothercrafts.com
“Saya sudah membuat keputusan muktamad. Setakat ini sahaja perkhidmatan saya bersama tuan. Saya mahu bersara” kata seorang tukang kayu.
Sudah berpuluh tahun beliau bekerja bersama majikannya itu. Penuh dedikasi. Tetapi hatinya dihinggap rasa jemu. Terasa mahu segera pergi.
Meninggalkan tempat kerja dan rutin hariannya.
Pergi bercuti sepuas hati.
Si majikan termenung. Perasaan bercampur aduk.
“Aku ada satu permintaan. Permintaan yang mungkin terakhir daripada aku untuk kamu” ujar si majikan.
“Apakah permintaan itu?” tanya si tukang kayu.
“Aku mahu kamu selesaikan satu sahaja lagi projek. Sebuah rumah kayu terakhir yang aku mahu kamu tumpahkan segala pengalamanmu untuk membinanya” kata si majikan.
Si tukang kayu serba salah.
Sudah terbayang wajah monyok sang isteri di rumah.
Kakinya sudah terasa-rasa pasir di pantai. Wajah sudah dingin-dingin dihembus angin benua. Menangguhkan semua itu untuk kembali bertukang kayu, terasa ralat benar di hati.
Tetapi dek mengenangkan begitu banyak jasa si majikan kepada dirinya dan keluarga selama ini, beliau mengangguk lesu. Setuju.
Terpaksa.
Rumah dibina seadanya. Asalkan siap.
Sifirnya mudah, apa-apa sahaja yang dibuat kerana terpaksa, terseksa.
Malang sekali.
Setelah berpuluh tahun bekerja dengan penuh dedikasi, dengan hasil kerja yang dipuji ramai, beliau mengakhiri hasil tangan seperti melepaskan batok di tangga.
“Alah, bang. Tak payahlah ukir dan paku beriya-iya sangat. Janji siap sudah. Ini pun kira kita dah baik hati nak tolong siapkan!” hasut sang isteri, menambah lagi rasa ‘tidak ikhlas’ di hati suami, si tukang kayu.
Selesai rumah kayu itu ditukang, beliau sendiri berasa tidak suka untuk melihatnya. Tetapi peduli apa. Beliau mahu segera bersara dan pergi bercuti.
“Nah, tuan. Ini kunci rumah itu. Segala tugasan sudah saya selesaikan” kata si tukang kayu.
“Simpanlah kunci itu!” jawab si majikan.
“Kenapa tuan?” si tukang kayu kebingungan.
“Rumah itu adalah hadiah daripada saya untukmu. Tanda penghargaan atas persahabatan kita selama ini” kata si majikan dengan wajah yang tulus penuh keikhlasan.
Menggeletar tangan si tukang kayu.
Hatinya ditaufan rasa sesal.
“Kalaulah aku tahu rumah ini adalah milikku, nescaya akan kubuat dengan sebaik mungkin!” hati kecil yang tidak pernah berbohong itu berbisik kesal.
ERTI HIDUP PADA MEMBERI
Dalam menghayati makna ERTI HIDUP PADA MEMBERI, hati sering dibisik was-was. Apa gunanya bersusah payah membantu. Cukuplah dengan segala kesusahan hidup kita yang sedia ada, kenapa mahu berpenat lelah untuk orang lain!
“Buat baik berpada-pada!” tokok sebuah peribahasa.
Hati yang akur dengan bisikan-bisikan ini akan mengeluh, “asyik aku sahaja yang memberi. Sesekali kenalah menerima. Terasa bagai dimanipulasi!”
Lalu datanglah segala penyakit sikap. Culas, acuh tidak acuh, ala kadar dan janji siap, menjadi sendi-sendi kerja yang dibuat tanpa sokongan jiwa.
Hakikatnya kehidupan tidak begitu.
Memberi, tidak pernah mengurangkan apa yang ada pada diri, malah menyuntik subur berkat dan kemajuan.
Sesungguhnya setiap kebaikan yang kita berikan dalam khidmat kepada umat, tidak pernah kebaikan itu tidak berbalik kepada kita.
Hanya manusia yang lupakan Tuhan, tidak menyedarinya.
“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” [Al-Israa' 17: 7]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Saturday, February 27, 2010
Dia pernah mencintaimu
“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.
“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan.
Persoalan.
Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?
“Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Aneh.
Mencintai insan yang belum ada.
Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.
Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.
Cinta luar biasa.
Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.
SENYUMAN PERPISAHAN
Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.
Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H,
Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.
“Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu.
Wajah itu mengubat rindu mereka.
Tiga hari yang hilang warna dan sepi.
Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.
Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.
Sangka mereka itu senyum kesembuhan.
Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…
Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.
“Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.
“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.
Tangan itu rebah terkulai.
Basah dalam bejana air.
Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.
Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.
Merindui saudara-saudaranya.
Kita.
SEBUAH PERTANYAAN CINTA
Justeru…
Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?
Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?
Hati kecil itu tidak mampu berbohong.
Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….
“Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Thursday, February 25, 2010
Motor...
sahabat saya berjalan kaki ke kedai Alia, manakala saya menaiki motor...Alhamdulillah berjaya juga...
bagi saya, pengalaman nie ada pengajarannya antaranya ialah walau sebesar dan seberat mana pon masalah yang kita hadapi, kita harus yakin kita mampu mengatasinya, apa yang paling penting ialah bagaimana kita nak menguruskannya, manusia adalah sebaik2 makhluk yang dicipta oleh Allah, kita mempunyai akal fikiran. Gunakan akal fikiran dengan bijaksana insyaAllah kita akan berjaya menghadapi setiap masalah yang berada dihadapan kita...
Sunday, February 21, 2010
Kenapa mesti Air yang tenang??
Kenapa mesti Air yang tenang? itulah persoalan yang ditujukan kepada saya oleh seorang sahabat baik. Terkejut juga mendengarnya, tp, em..betul jugak, kenapa saya pilih Air yang tenang? Kenapa tak buat ayat yang lebih gempak? mungkin ia ada kaitan dengan keperibadian saya sendiri, saya adalah seorang yg simple, dan saya sukakan ketenangan dan kedamaian, sekiranya saya berada dalam suatu keadaan yang tegang, saya lebih suka bangun dan meninggalkan tempat tersebut.
Alhamdulillah...
Disebabkan saya masih lagi seorang mahasiswa, kemungkinan besar penulisan saya dalam blog nie, akan berkisar mengenai kehidupan di kampus.